Friday, January 30, 2009

Keagongan AL-QURAN

Kebenaran maklumat sains cungkil rahsia al-Quran

ADA rasul dan nabi dikurniakan mukjizat iaitu pemberian Allah untuk melakukan perkara luar biasa yang tidak mengikut kaedah sebab musabab. Mukjizat adalah antara bukti kenabian.

Mukjizat terbahagi dua iaitu hissi dan aqli. Mukjizat hissi dalam bentuk yang boleh dikesan pancaindera (dilihat, didengar atau disentuh) dan bertindak secara fizikal seperti tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular atau Nabi Musa menyembuhkan orang buta sejak lahir. Mukjizat aqli hanya mampu difahami manusia dengan akal sihat, bebas daripada emosi dan prasangka serta dengan mata hati yang masih boleh menerima hidayah. Satu-satunya mukjizat aqli ialah al-Quran.

Keagungan dan kebenaran kandungan al-Quran tidak dapat disangkal sesiapa. Hal ini membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kandungan al-Quran tidak mampu dicipta sesiapa selain Allah Maha Pencipta.

Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat percanggahan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82)

Menurut doktor perubatan Perancis, Maurice Bucaille (1978) dalam bukunya The Bible The Quran and Science, “Sementara ada kesalahan amat ketara dalam Bible, saya tidak mendapati satu kesalahan pun dalam al-Quran.”

Bible yang menjadi kitab orang Kristian asalnya diturunkan Allah yang dinamakan Injil. Bagaimanapun, Bible sekarang banyak diubah pendeta Kristian mengikut kemahuan mereka. Tindakan pendeta itu tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Semakin banyak diubah, lagi jelas kesalahannya.

Sebagai umat Islam, cukup kita mempercayai Allah pernah menurunkan Injil kepada Nabi Isa tetapi tidak perlu berpegang kepada Bible yang diubah sekarang. Tambahan pula, Injil sudah ‘dihapuskan’ sebaik turun al-Quran yang lengkap kandungannya dan tidak perlu lagi kitab lain sebagai tambahan.

Perlu diingatkan, ada pihak yang sengaja memesongkan akidah umat Islam dengan menyebut kita wajib mempercayai kandungan Bible sekarang dengan alasan setiap umat Islam wajib percayakan kitab Allah sebagai Rukun Iman yang wajib diyakini.

Biarpun al-Quran sudah diturunkan kira-kira 1,400 tahun lalu, manusia masih belum mampu membongkar semua kandungannya. Semakin banyak dikaji, semakin banyak manusia berasakan tidak mengetahui mengenainya.

Banyak maklumat sains dalam al-Quran dibongkar dan diakui kebenarannya oleh pakar termasuk bukan Islam. Mereka mengakui kandungan dalam al-Quran bukan direka Nabi Muhammad SAW. Tidak mungkin maklumat setepat al-Quran dapat dicipta atau dikarang manusia.

Perkara yang dijelaskan dalam al-Quran mengenai sains wajar dijadikan pemangkin supaya umat Islam mencari lebih banyak pengetahuan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia. Sesungguhnya Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan termasuk berkaitan sains.

Sebenarnya dalam Islam, segala ilmu penting untuk kebaikan. Manusia lebih mengenali Maha Pencipta apabila mengetahui lebih banyak mengenai ciptaan-Nya. Encyclopedia Britannica edisi kesembilan mencatatkan Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu sains dengan ketuhanan.

Islam menyuruh umatnya memanfaatkan seluruh kejadian alam dan ini hanya dapat dilakukan jika dilakukan dengan ilmu. Jika Islam menolak sains, pasti hal berkaitan sains tidak dimasukkan dalam al-Quran.

Sebenarnya tidak ada agama selain Islam yang turut mencatatkan kejadian alam semesta, malah ada kira-kira 750 rujukan berkaitan ilmu dalam kandungannya.

Ayat berkaitan kosmologi (mengkaji asal-usul, proses, dan struktur alam semesta) menyebut mengenai langit dan bumi sebanyak 29 ayat; planet, bintang dan orbit (15), musim (25), penerbangan angkasa lepas (lima), tahi bintang (empat), kehidupan di angkasa lepas (59) dan angkasa lepas (lapan).

Selain sebagai ilmu, kandungan al-Quran berkaitan sains mengajak manusia memperteguhkan tauhid mengesakan Allah. Banyak ayat al-Quran mengajak manusia berfikir serta mengkaji dan memahami tabii alam.

Firman Allah bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal?” (Surah al-Anam, ayat 32)

Mengagumi kandungan al-Quran menjadi inspirasi kepada sarjana Islam dulu yang berjaya menemukan banyak ilmu sains yang menjadi asas kepada ilmu sains dan teknologi sekarang.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan Islam sebagai agama yang syumul. Nama seperti al-Biruni, Nazir, al-Dinb, Ibnu Sina, Muhammad Ibnu Musa al-Khuwarizmi, Ibnu Yunus dan Habsah al-Hasib mencungkil dan mengemukakan teori sains mereka berdasarkan pengetahuan asas yang diperoleh daripada al-Quran.

Penguasa atau pemerintah umat Islam pada era kebangkitan Islam dulu memberi kedudukan tinggi kepada ahli sains. Pakar sains dalam sesuatu bidang ditugas melakukan kajian untuk manfaat umum.

Contohnya, kumpulan ahli astronomi diketuai Muasa ibn Shaki diarahkan Khalifah al-Mamum mengukur lilitan bumi. Mereka dapat mengira lilitan bumi di Khatulistiwa sepanjang 40,253.4 kilometer. Anggaran dibuat pada hari ini ialah 40,068 kilometer. Perbezaannya ialah 185.4 kilometer atau 0.46 peratus.

Perintah itu berdasarkan hakikat bahawa bumi itu bulat, maka ia ada ukur lilitnya. Maklumat mengenai bumi bulat banyak dijelaskan dalam al-Quran, biarpun tidak secara khusus.

Banyak ayat al-Quran menjelaskan mengenai bumi dan setiap satu mempunyai kaitan yang jika dikaji secara menyeluruh menemukan maklumat lebih tepat mengenai bumi serta cakerawala lain.

Perkara itu dilakukan ilmuwan Islam dulu. Mereka mengumpul setiap maklumat termasuk yang ditemui atau diperkatakan ahli sebelumnya dan dipadankan pula dengan apa yang dijelaskan dalam al-Quran. Hasilnya, mereka mendapat satu keputusan lebih tepat dan menjadi rujukan ahli dalam bidang berkenaan sehingga ke hari ini.

Tidak dapat disangkal bahawa asas ilmu atau penemuan dilakukan ilmuwan Islam menjadi pencetus kepada kajian seterusnya oleh ilmuwan Barat. Semua kajian itu bermula daripada apa yang dijelaskan dalam al-Quran.

Christopher Columbus (1451 - 1506 Masihi) mengakui naluri atau dorongan kuat untuk belayar ke arah barat dari Eropah sehingga menemui benua Amerika berdasarkan rujukan tulisan ilmiah kitab geografi Ibn Rushd.

Justeru, umat kini perlu bangkit untuk meneruskan apa yang pernah dicapai tokoh ilmu sains Islam dulu. Masih terlalu banyak kandungan dalam al-Quran memerlukan penelitian untuk dimanfaatkan.

Sekarang kandungan al-Quran semakin banyak dikaji pakar sains bukan Islam. Mereka mendapati apa terkandung dalam al-Quran adalah benar. Ada antara mereka yang menganut Islam selepas mengkaji kandungan al-Quran. Sedangkan sebahagian yang lain hanya menjadikan al-Quran bahan kajian, juga tidak mampu untuk menolak kebenarannya.

Jika bukan Islam berminat terhadap kandungan al-Quran, mengapa umat Islam tidak mengambil kesempatan itu. Orang Islam kini hanya membaca al-Quran, tetapi tidak cuba mencungkil rahsia di sebalik setiap isi terkandung dalam 6,666 ayat itu.

0 comments: